Halwa Telinga anda

Qamus

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com
Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Thursday, September 2, 2010

Mencari Lailatulqadar




بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti
Allah S.W.T berfirman:-
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (QS:97:1-5)

Allah S.W.T memberitahu bahawa DIA menurunkan al-Quran pada malam lailatulqadar, iaitu malam yang penuh dengan keberkatan. Allah S.W.T berfirman:-
إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةٍ۬ مُّبَـٰرَكَةٍ‌ۚ
"(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu,..." (QS:44:3)

Dan malam itu berada pada bulan Ramadhan. sebagaimana firman ALLAH S.W.T:-
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran,..(QS:2:185)

Ibnu Abbas r.a berkata:-
"ALLAH S.W.T menurunkan al-Quranul Karim keseluruhannya secara sekali gus dari Lohmahfuz ke BaitulIzzah(langit pertama) pada malam lailatulqadar. kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w. sesuai dengan pelbagai peristiwa selama 23 tahun."

Malam itu dinamakan lailatulqadar kerana keagungan dan keutamaannya di sisi ALLAH S.W.T. Pada saat itu ditentukan ajal, rezeki, dan sebagainya selama setahun sebagaimana firman ALLAH S.W.T:-
فِيہَا يُفۡرَقُ كُلُّ أَمۡرٍ حَكِيمٍ
"(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)." (QS:44:4)

ALLAH S.W.T juga menjelaskan keutamaan malam itu dengan firman-NYA:-
لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan." (QS:97:3)

Ini bermakna, beribadat pada malam itu dengan bersolat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa adalah sama nilainya dengan beribadat selama 1000 bulan iaitu bersamaan dengan 83 tahun empat bulan.

Lalu ALLAH S.W.T memberitahu tentang kelebihan dan nikmatnya dengan malikat yang turun pada malam itu, termasuk Jibril a.s. Mereka turun dengan membawa pekara kebaikan mahupun keburukan yang merupakan ketentuan dan takdiq ALLAH S.W.T. Seterusnya ALLAH S.W.T menambah kelebihan malam tersebut dengan firman-NYA:-
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ
"Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (QS:97:5)

Ini bermakna malam itu adalah malam yang penuh dengan kesejahteraan dan kebahagian. Tidak ada sedikit pun kecacatan di dalamnya, sehinggalah terbitnya fajar. Pada malam itu malaikat termasuk Jibril a.s mengucapkan salam kepada orang yang beriman.

Rasulullah s.a.w juga menyebut tentang kelebihan melakukan qiamullail pada malam tersebut. Baginda bersabda:-
"Barang siapa melakukan solat malam pada saat lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala ALLAH S.W.T, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Manakala mengenai waktu lailatulqadar itu. Rasulullah s.a.w bersabda:-
"Carilah lailatulqadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir Ramadhan."- Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya.

Malam-malam ganjil itu ialah malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29.

Saidatina Aisyah meriwayatkan bahawa dia bertanya:-
"Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui lailatulqadar, apa yang harus aku ucapkan di dalamnya?" Baginda menjawab, katakanlah: '"Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun, ENGKAU mencintai pengampunan maka ampunilah aku." -Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah.

Seharusnya kita sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh memenuhi malam-malam tersebut dengan solat, zikir, doa, taubat dan istighfar. Mudah-mudahan dengan demikian kita merasai kelebihan lailatulqadar, sehingga kita menikmati kebahagian yang kekal di syurga.

Pada malam tersebut, hendaklah kita berdoa untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Antara doa yang digalakkan diamalkan ialah:-
YA ALLAH...
perbaikilah untukku agamaku yang
merupakan penjaga urusanku.
Dan perbaikilah untukku duniaku
yang di dalamnya adalah kehidupanku dan
perbaikilah untukku akhiratku
yang kepadanya aku kembali,
dan jadikanlah kehidupan ini
untuk aku berbuat kebaikan,
dari kematian menghentikanku
daripada setiap kejahatan.

Ya ALLAH...
bebaskanlah aku daripada seksa api neraka,
dan lapangkanlah untukku rezeki yang halal,
dan palingkanlah daripadaku
kefasikan jin dan manusia,
wahai Zat Yang Hidup dan terus - menerus
mengurus makhluk-NYA."

"Ya ALLAH...
inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya
ENGKAU telah turunkan al-Quran. Aku berlindung
dengan kekuasaan-Mu yang mulia, wahai Pemilik fajar
yang terbit dari malam-malamku dan Pemilik bulan
Ramadhan yang hampir berlalu ini.

Kepada-Mu aku mengadu akan kesalahan dan
dosaku yang dengannya ENGKAU akan menyeksaku
pada hari perjumpaan dengan-Mu kelak.

Ya ALLAH...
Janganlah ENGKAU jadikan puasa ini sebagai puasa
yang terakhir dalam hidupku. seandainya ENGKAU
menetapkan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini
sebagai puasa yang dirahmati, bukan sia-sia.

Ya ALLAH...
Jadikanlah puasaku di dalamnya
mendapatkan pahala serta diterima sebagai amalan yang
mendatangkan keredhaan-MU dan daripada Rasul-MU
serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok,
dengan hak kemulian Nabi Muhammad s.a.w dan ahli
keluarga baginda s.a.w yang suci.."

Amin..
******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Friday, August 20, 2010

Zionis tidak jemu rancang misi lenyapkan Al-Aqsa

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti


Tarikh 21 Ogos adalah detik hitam bagi umat Islam di seluruh dunia. Genap 41 tahun lalu (21 Ogos 1969), maruah umat Islam tercalar dengan penghinaan apabila Masjid Al-Aqsa dibakar pelampau Yahudi yang disokong kuat Kristian Zionis.

Usaha terkutuk ini dilakukan penjenayah dari Australia, Michael Dennis Rohan.

Rohan menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar dan sekali gus memusnahkannya. Api marak hampir saja memusnahkan keseluruhan Masjid al-Aqsa. Namun tindakan tangkas umat Islam di Baitulmaqdis selama sehari suntuk mengizinkan mereka memadamkan api berkenaan.

Rohan sebenarnya tidak bersendirian dalam melakukan jenayah keji ini. Dia mendapat sokongan rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid Al-Aqsa lenyap daripada muka bumi bagi meneruskan projek membina Yahudi, Solomon Temple atau Haikal Sulaiman di dataran Baitulmaqdis.

Penjenayah yang bertanggungjawab terhadap pembakaran itu ditangkap, namun dibebaskan tanpa hukuman. Mahkamah Israel sentiasa bersandiwara apabila memutuskan Rohan, seorang doktor perubatan sebagai tidak siuman dan hanya dihantar pulang ke Australia. Rohan pula dengan bongkaknya berkata, apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab agama seperti dalam ajaran Talmud. Dia turut mendakwa berjaya melaksanakan misi diperintahkan tuhan.

Pihak Zionis memulakan perancangan dengan menutup saluran paip ke Masjid Al-Aqsa agar agenda jahat itu berjaya membuahkan hasil maksimum. Tentera Israel juga menghalang pasukan bomba dan warga Arab memasuki kawasan masjid pada hari berkenaan.

Tindakan biadab ini menyebabkan sebahagian besar Masjid Al-Aqsa rosak dan menjadi arang. Kemusnahan itu melebihi sepertiga kawasan iaitu kira-kira 1,500 meter persegi daripada 4,400 meter persegi keluasan masjid. Mimbar Salahuddin al-Ayyubi yang bersejarah, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar serambi masjid juga hangus. Turut musnah atap masjid serta tiang indah dihiasi ayat al-Quran.



Pembakaran Al-Aqsa mengundang protes seluruh dunia Islam bermula dari Maghribi di Barat hingga ke Indonesia di Timur. Banyak pertemuan dan perundingan peringkat serantau dan antarabangsa diadakan bagi menghentikan kemarahan umat Islam. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga terpaksa mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk Israel dan menyeru agar menghentikan segala usaha yang bertujuan merubah status Baitulmaqdis dan pengyahudian Masjid Al-Aqsa.

Pemimpin negara Islam pula bergabung dan bersetuju menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berikutan pembakaran Masjid Al-Aqsa. Mereka mengadakan pertemuan tergempar di Rabat, ibu negara Maghribi serta menghasilkan resolusi mencegah apa jua usaha penodaan Masjid Al-Aqsa. Namun sedihnya resolusi itu hanya tinggal resolusi yang tidak berjaya dilaksanakan. OIC sebenarnya terbukti gagal dalam mewakili umat Islam bagi menangani keselamatan dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Kesan pahit daripada pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 1969 terus dirasai dunia Islam hingga ke saat ini. Banyak lagi jenayah yang dilakukan terhadap Al-Aqsa.

Kini, selepas 41 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa, masih ada ribuan lagi pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang terus menanti kelalaian umat Islam untuk memusnahkannya. Zionis sebenarnya bertungkus-lumus untuk mengyahudikan Masjid Al-Aqsa sejak peristiwa An Naksah (malapetaka yang berulang) iaitu peristiwa penjajahan Baitulmaqdis Timur dan Masjid Al-Aqsa pada 1967. Banyak lagi jenayah projek pengyahudian Al-Aqsa dilakukan, termasuk menghalang umat Islam menziarahi masjid ini dan memakmurkannya, menghalang usaha membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang rosak, merampas Tembok Buraq yang menjadi sebahagian Al-Aqsa, mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Masjid Al-Aqsa, siri pengeboman secara terancang ke atas masjid, siri pembunuhan umat Islam di Masjid Al-Aqsa, penggalian terowong besar dan panjang di bawah masjid ini, mengubah identiti Islam dan Arab kepada Yahudi di Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa serta pembinaan Sinagog Hover bersebelahan Al-Aqsa.

Terlalu banyak jenayah dilakukan Zionis terhadap Masjid Al-Aqsa yang menjadi jantung hati umat Islam. Al-Aqsa adalah kiblat pertama, masjid ketiga suci serta bumi Israk dan Mikraj. Masjid Al-Aqsa mesti diselamatkan daripada kemusnahan Zionis. Apa yang sudah dan sedang berlaku terhadap Al-Aqsa patut menyedarkan umat Islam daripada terus lena di buaian mimpi

Prof. Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin
Perunding Aman Palestin.
******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Tuesday, June 15, 2010

Tersurat dan tersirat

Jika insan diasuh dengan keangkuhan,
dia belajar erti takbur.
Jika insan diasuh dengan kelemahan,
dia belajar erti hina dirinya sendiri.
Jika insan diasuh dengan erti permusuhan,
dia belajar erti membenci.
Jika insan diasuh dengan sikap pentingkan diri sendiri,
dia belajar erti mengkhianati......
namun....
Jika insan diasuh dengan insani,
dia belajar erti hargai.
Jika insan diasuh dengan belas budi,
dia belajar erti mengasihani.
Jika insan diasuh dengan kepayahan,
dia belajar erti mensyukuri.
Jika insan diasuh dengan bertimbang rasa,
dia belajar erti bersabar....



******************Renungan Bersama******************
Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Wednesday, June 9, 2010

Putera puteri Dunia

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti

Perkara yang amat dibimbangi oleh Rasulullah S.A.W akan berlaku kepada umatnya, selain daripada terlalu menuruti kehendak nafsu ialah panjang angan-angan. Sesungguhnya angan-angan yang berlarutan itu akan mengakibatkan manusia lalai daripada mengingati akhirat, sedangkan akhirat adalah hari menentukan balasan amal seseorang. Tidak ada pembetulan yang dapat dilakukan atas segala kekhilafan dan kesalahan yang telah dilakukan, tetapi di sanalah tempat bagi manusia merasai kebahagian atau penyesalan yang tidak berkesudahan.

Angan-angan tidak ada penghujungnya, ia tidak berjejak di alam nyata, malah kosong semata-mata. Justeru angan-angan bukanah cita-cita, kerana cita memerlukan tindakan usaha yang bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang dicita-citakan. Sebaliknya angan-angan hanyalah khayalan ibarat sebuah lakonan ke alam fantasi, yang-angan hanyalah diketahui di mana letaknya seperti mengharungi lautan uas yang tidak berpantai.

Orang yang terperangkap dalam angan-angan pasti lupa dengan tujuan hidup di dunia ini, masa depannya hanyaah khayalan. Sekiranya dia tahu tentang akhirat, tetapi tidak mempunyai keyakinan, apa pun yang terjadi kepada dirinya dirinya di akhirat kelak tidak pernah difikirkan. Sekalipun ada pihak mengingat dia tentang perlunya membuat persediaan menghadapi hari akhirat, tetapi dia tetap menganggap akhirat itu masih jauh dan terlalu lama.

Golongan yang dikhayalkan dengan angan-angan sentiasa menangguhkan amal kefardhuan atau amal kebajikan. Jika ketika itu telah masuk solat fardhu, rakan-rakan mengajak dia pergi ke masjid atau musolla untuk menunaikan solat jemaah, dia akan menjawab "Pergilah dulu". Demikian juga andainya dia mempunyai harta dan wang ringgit yang membolehkannya untuk menunaikan fardhu haji, tetapi dia tidak akan berbuat demikian, sebaliknya akan menangguhkannya dengan berbagai-bagai alasan.

Manusia yang dilamun angan-angan tidak akan menjadualkan masa kehidupan mereka, sedangkan masa bererti usia. Walaupun masa berlalu namun dia tidak merasa usianya semakin susut dan terbuang sia-sia, kerana lamunan angan-angan yang panjang, dia tidak pernah berfikir bahawa kematian semakin meghampirinya.

Padahal umur manusia adalah antara anugerah Allah yang amat berharga tetapi terbatas, ia akan dipertanggungjawabkan ke atas diri seseorang di akhirat kelak dan akan ditanya ke mana ia dipergunakan.

Usia bergerak bagi meninggalkan manusia seperti pergerakan bumi dan cakerawala yang lain, ia terus melangkah meninggalkan manusia. Setelah usia berlalu, tiada pun yang dapat melambai dan mengajak umur itu kembali mendekati dirinya.

Selain itu Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa akhirat juga bergerak mendatangi manusia, bererti ia akan mempercepatkan pertemuan manusia dengan akhirat, ibarat dua orang menaiki dua kenderaan dari arah yang bertentangan di jalan raya, walaupun keduanya bergerak dengan yang jauh, namun oeh kerana kedua-duanya bergerak kearah yang sama, maka ia lebih cepat bertemu.

Gambaran itu begitu jelas bahawa manusia dari alam akhirat akan bertemu segera kerana kedua-duanya sedang bergerak pantas untuk bertemu. Hanya orang yang sedang dilamun angan-angan sahaja tidak menyedari umur yang sedang pergi dan akhirat yang mendatang, angan-angan yang panjang telah melalaikan mereka daripada menyedari hakikat itu

Orang yang berangan-angan panjang tidak akan memikirkan kedatangan saat kiamat yang menghancurkan alam dunia ini, lantaran itu dia tidak pernah memikirkan persiapan bekalan yang patut disediakan semasa hidup di dunia bagi kepentingan akhirat. Walaupun usia dunia ini seperti orang tua yang sudah terlalu bongkok untuk menemui ajalnya, namun orang yang sedang dilamun angan-angan tidak akan menyedarinya. Sebaliknya kelak mereka akan terkejut sebaik sahaja dunia ini menemui ajalnya apabila akhirat.

Dunia mempunyai penyokong dan akhirat mempunyai pengikutnya, kedua-duanya mempunyai putera atau anaknya masing-masing. Siapakah yang akan menjadi putera dunia serta penyokongnya? Dan siapa pula yang akan menjadi putera akhirat dan penyokong blok akhirat? Kesemuanya dapat dikenali dengan tingkah laku sikap dan pendirian mereka kerana setiap pendirian dan sikap seseorang akan membuahkan tindakan.

Siapakah putera dunia? Mereka ialah orang-orang yang mentaati hawa nafsunya atau menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan. Merasa bahagia terhadap seruan mungkar, lantas menghayatinya dengan segala keupayaan diri dan kekuatan aharta benda, serta merasa bahagia apabila berada dalam suasana mungkar itu. Putera dunia juga bagi mereka yang melakukan sebarang usaha hanya untuk kesenangan hidup di dunia yang sementara.

Putera dunia hanyalah mereka yang bergiat di sekeliling kehidupan duniawi tanpa menghubungkannya dengan akhirat. Jika memiliki kesenangan hanya untuk kepentingannya sendiri, orang lain seolah-olah tidak ada kaitan dengan dirinya. Sekalipun sekeliling mereka ramai orang yang menderita, baginya itu bukan urusannya.

Sementara putera akhirat pula adalah orang yang kehidupannya berteraskan kepada aqidah yang sebenar serta amalan yang bersumberkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Putera akhirat adalah orang yang mempertahankan kebenaran Islam, sedia mempertaruhkan jiwa dan raga demi membela Islam. Menghindari dan memeramgi segala yang berbentuk mungkar dan maksiat.

Putera dunia dan putera akhirat mempunyai perbedaan yang jelas antara kedua-duanya yang berlainan keturunan itu tidak mungkin bersatu.

Wallahua'lam

******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Thursday, May 20, 2010

Sharing is Caring

"Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" ~Surah Muhammad, ayat 7

"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar,maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

" maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"
Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"
"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"
Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.
Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.
"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"
"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!
Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang
Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara
kamu!

TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!

* http://idhamlim.blogspot.com/

******************Renungan Bersama******************
Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Sunday, May 16, 2010

JasaMu DiKenang Wahai Guruku

Assalamualaikum dan Salam Integriti


Tanggal 16 Mei disambut seluruh Malaysia sebagai Hari Guru. Walaupun kita baru sahaja menyambut Hari Ibu, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan juga Hari Belia namun Hari Guru perlu diberi lebih perhatian oleh semua pihak. Kenapa? Jawapannya mudah, sebab setiap seorang yang hidup di dunia ini tidak terkecuali daripada dididik oleh guru.

Seorang guru haruslah mempunyai sikap mendidik dan bukannya sikap mengajar. mendidik adalah tugas yang mulia kerana lebih berpaksikan kepada keluhuran hati. berlainan pula jika mengajar. mengajar hanyalah untuk melepaskan tanggungjawab atau sekadar berkerja untuk menerima gaji bulanan. niat ini akan mempengaruhi pemikiran guru berkenaan lantas akan mempengaruhi tingkah laku guru berkenaan.

Akhir-akhir ini kita melihat laporan media yang agak merisaukan mengenai hubungan antara guru dan pelajar. Terdapat tentang laporan pelajar-pelajar di Sarawak didenda dengan direndam. Juga laporan di Johor tentang seorang guru dicekik pelajar sendiri. kenapa masalah ini berlaku??

Masyarakat sering mempersalahkan guru tanpa mengambil tahu apa yg sebenarnya berlaku. Memang tak dinafikan ada segelintir guru yang tidak dapat membendung perasaan amarah mereka dengan kelakuan pelajar, seterusnya memberi hukuman yang tidak wajar ke atas pelajar tersebut. Namun masih ramai guru yang sanggup berkorban wang dan masa untuk mendidik anak - anak muridnya ini tanpa sekelumit rasa jemu pun. Terkadang, sampaikan masa untuk diri sendiri dan keluarga pun terpaksa diketepikan.

Macam stereotype je bunyinya ni, tapi inilah kenyataannya. Kita harus ingat, pelajar-pelajar sekarang bukan seperti pelajar-pelajar dulu. Sekarang semuanya advance selari dengan peredaran masa. Yang kurang ajar pun ramai.

Semasa berada di hadapan ibubapa pelajar ini akan berusaha bersungguh-sungguh menunjukkan perangai yang terbaiknya kerana takut akan diketahui oleh ibubapa tentang kelakuan sebenarnya semasa di sekolah. Apabila berada di sekolah pelajar ini berkelakuan amat pelik kerana berubah sekelip mata menjadi seorang yang amat berlainan. membuli rakan, bergaduh dan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran, melakukan perkara yang tidak bermoral.

Perkara ini menjadi persoalan mengapa murid ini berkelakuan seperti ini sedangkan semasa bersama dengan ibubapanya murid in adalah seorang yang amat patuh dan baik. mengapa?? sama-samalah kita renungkan.


Penulis selalu diingatkan oleh ayahanda dan bonda, menghormati guru samalah seperti kita hormat ibu bapa kita. selari dengan kata-kata nasihat Imam Ghazali "Hak Guru lebih agung daripada hak Ibubapa, sebab orang tua penyebab adanya kita sekarang dan kehidupan yang fana. Sementara guru penyebab hidup yang kekal. Jika tiada guru, nescaya apa yang dihasilkan dan diarahkan oleh orang tua, akan celaka selamanya."

Siapapun yang ada hari ini, pensyarah, peguam, hakim, perdana menteri, menteri, penghulu dan siapa juga bermula dari guru darjah satu. Dia yang mengajar membaca dan mengira sehingga kita mereka menjadi orang yang hebat. Jadi, semua orang harus mengenang jasa guru kita sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah mati.

Ketahuilah seramai-ramai guru yang ada di dunia ini, guru agama tidak boleh dilupakan kerana merekalah yang menyelamat iman manusia. Kalau guru biasa memberi ilmu mengenali alam ini tetapi guru agama menjaga manusia daripada melakukan dosa. Guru agama lebih penting dalam hidup malah dia boleh menyelamatkan di akhirat.

Jadi, hormatilah guru agama seadanya. Mutiara ilmu yang disampaikan perlu disebarkan kepada orang ramai. Tetapi keburukan dan kelemahannya harus disembunyikan. Hal ini kerana yang manfaat lebih besar daripada mudaratnya. Maka yang mudarat tinggalkanlah.

Kepada guru biasa anda tetap berjasa, tanpa anda saya dan orang lain tidak kenal dunia. Tidak tahu bagaimana hendak mengurus dunia. Namun guru agama melengkapkan dunia itu dengan menyempurnakan kehidupan di akhirat. Jadi kedua-dua guru itu amat diperlukan dalam satu masa.

Cikgu-cikgi, ustaz-ustazah SMU(A) Hamidiah 2004

Guru oh guru..
Jika hari ini seorang Perdana menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang GURU biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Terimo kasih cikgu
Kerana sudi ajar sayo
Hingga kenal merah biru
Tahu nilai budi bahaso

Minta halal segala Ilmu
Cikgu bui selama maso
Berkat doa denga restu
Sayo buleh berjayo

Berkat tekun cikgu ajar
Pelajare cikgu bui
Garis lurus panje sejengkal
Sapa carok merentah negeri

Tapi kerano terlebih pandai
Rusak iman punah budi
Jaso cikgu demo tok nilai
Supo kayu hangus api

Berguru ku padde data
Sapa rusak gele dikaki
Berguru kepale ajar
Bagai bunga kembe tok jadi

Umpama kain selai
Putih hite kotor suci
Jaso cikgu bubuh kalar
Untuk bina generasi

Buleh kita pine madu
Cikgu bui maso mulo
Berkat keramat pesene cikgu
Hinggo sayo buleh berjayo

Berkat nikmat manis madu
Negaro kayo rayo
Jaso baik pihak cikgu
Takdok sapo buleh lupo

Untung lamo daun selai
Tidak cikgu kiro pikir
Pado umbi buah segar
Ore lain kutip hasil

Kerano cikgu jiwo sobar
Rela jadi mace lilin
Rela diri hangus terbakar
Bui cahayo kokre lain

Bersabarlah wahai cikgu
Sayo kasih sayo saye
Susoh payoh cukgu lalu
Ore lain tok pehe

Penat lelah sedih pilu
Rukah bukit redah hute
Kerano menyapa ilmu
Laut luas sanggup menyebere

Wahai ahli masyarakat
Hargailah jaso cikgu
Walau hanya senyum orat
Walau jaso sebesar tuku

Didik asuh tegur royat
Hinggo kita buleh maju
Tidur jenero make sedap
Rumah tanggo beranok cucu

Oh yakinlah wahai cikgu
Jasamu yang tulus suci
Tubuh cengkung jadi tuku
Rumah berakar buah berisi

Jaso baik sudah tentu
Cukup beraso dengan sehari
Niat baik tuhe tahu
Jadi bekal sebelum mati

Taburkanlah bakti
Teruslah berjuwe
membina pertiwi
Jayakan wawase

Susoh lelah atas diri
Tok harapkan balase
Negaro dok nanti
Sinar bule tere

Terimo kasih cikgu
Kerana sudi ajar sayo
Hingga kenal merah biru
Tahu nilai budi bahaso

Minta halal segala Ilmu
Cikgu bui selama maso
Berkat doa denga restu
Sayo buleh berjayo
*Liri lagu: Jasa Cikgu oleh Cikgu Sulizi

Penulis mengucapkan Selamat hari guru kepada semua guru-guru, cikgu-cikgu, ustaz-ustazah dan para pensyarah yang pernah mengajar penulis sedari Sekolah Rendah sehingga kini. Sek. Keb. Chenulang, Sek. keb. Sungai Embak, SMU(A) Hamidiah Lil Banin Wal Banat Padang Lepai, Maahad Rahmaniah Kuala Krai dan Universiti Sains Islam Malaysia adalah tempat penulis mengenal erti Ilmu.

Mudah-mudahan Jasa baik kalian semua diberikan ganjaran oleh Allah swt.

******************Renungan Bersama******************
Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.