Halwa Telinga anda

Qamus

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, October 11, 2010

Carilah Teman Yang Baik!.


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum..

"Teman yang baik adalah umpama hujan yang menyejukkan, mentari yang menghangatkan dan cahaya yang menutupi kegelapan."

Dari pandangan mata, kita berpaut penglihatan. Dari pandangan hati, kita saling kasih mengasihi. Bukan hanya cinta dan bukan sekadar sayang, kita semua bersama atas dasar keikhlasan dan kejujuran yang hadir dalam diri kita.

Mungkinkah setiap insan yang bersama kita itu ikhlas dan jujur pada persahabatan? Bukan mudah untuk mencari teman yang baik. Kadang-kala ia sudah berada dihadapan mata tatkala persepsi kita sahaja membiarkan ianya berlalu sahaja tanpa disedari. Kadang-kala jua, teman yang baik berasal daripada seorang insan yang pernah mengkhianati kita, tetapi cahaya hidayah dan keinsafan membuatkan dirinya kembali ke landasan yang betul kerana dia tersedar daripada khayalan diri yang diselubungi syaitan dan nafsu.

Keikhlasan dan kejujuran tidak boleh diukur. Kerana ia tersimpan didalam hati. Yang sukar dijangka dan diketahui oleh oranglain. Apatah lagi kepercayaan tulus, yang juga bukan mudah untuk dilihat melalui pandangan mata. Semua hanya mampu dinilai oleh pandangan hati yang telus. Niatkan diri kita sebelum berteman kerana ia adalah permulaan kepada ukhwah yang sejati. Berdoalah kepada Allah agar dipertemukan sebuah persahabatan yang akan memanfaatkan diri. Yang akan meninggalkan memori silam yang bakal menghasilkan kebahagiaan yang kekal.

Jangan terlalu memilih, kerana mungkin disebalik pasir itu ada mutiara. Jangan pula terlalu membuka hati kita, menerima semua untuk menemani kita. Masakan disebalik madu itu ada racun. Hati yang telus, bila termakan racun tatkala menaruh madu, kelak hati itu akan tertutup untuk menerima oranglain. Itulah kekecewaan. Yang melukakan dan sukar dirawat. Hargailah setiap insan yang menerima diri kita walau apa jua keadaan.

Belajarlah untuk menerima teman yang memperbaiki kita dan belajarlah juga bagaimana untuk menutupi kelemahan teman kita. Jadikan persahabatan itu medan perjuangan diri menuju ke jalan Allah. Berkata-kata baik dan berbudi bahasa sesama teman. Kelak nanti ia akan menguntungkan kita. Jika ada kesalahan, maafkanlah. Jika ada kelemahan, perbaikilah. Dan jika ada kebaikan padanya, contohi ia. Marilah bersama-sama meniti jambatan kejayaan.

Terimalah kehadirannya dengan hati yang terbuka. Pandangan mata dan impresi awal sering menilai orang lain sebelum menerima mereka. Oleh itu, berwaspadalah dan berdoalah kepada-Nya agar ikatan yang terbina itu akan kekal. Hanya Allah yang tahu pengakhirannya dan hanya Dialah yang tahu siapa yang layak bersama kita. Biarlah kita berteman ramai kerana dalam ramai-ramai itu mungkin ada yang baik untuk kita...


******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Tuesday, September 28, 2010

Wanita, Ibu, Isteri dan Puteri kepada Lelaki

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti

Jangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah dan gelisah. Lelaki masih mencari wanita walaupun sudah ada segala-galanya.

Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam tetap rindukan Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Mereka dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki.

Tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, tidak mungkin mampu meluruskan mereka. Tidak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan daripadaNya.

Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah.

Kenalkan mereka dengan kepada zat Allah yang kekal, disitulah suisnya. Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak.

Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri Negara atau ‘women gladiator’.

Bisikkanlah ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu diskriminasi Tuhan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki waja, negarawan, karyawan, jutawan dan ‘wan-wan’ yang lain. Tidak akan lahir ‘superman’ tanpa ‘superwoman’.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan.

Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan bahkan mereka pula membengkokkan.

Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki.

Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki.

Kini bukan sahaja ramai boss kehilangan ‘secretary’, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Apabila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Apabila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa.

Lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dulu kepadaNya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Saidina Ali.


Nota: Artikel ini telah disiarkan di akhbar berita harian beberapa tahun dahulu (ruangan Renungan). Kepada penulis, maaf dipinta kerana saya gagal mencatitkan nama. Terimakasih daun keladi, semoga anda menulis lagi.
*****************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Thursday, September 2, 2010

Mencari Lailatulqadar




بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti
Allah S.W.T berfirman:-
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (QS:97:1-5)

Allah S.W.T memberitahu bahawa DIA menurunkan al-Quran pada malam lailatulqadar, iaitu malam yang penuh dengan keberkatan. Allah S.W.T berfirman:-
إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةٍ۬ مُّبَـٰرَكَةٍ‌ۚ
"(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu,..." (QS:44:3)

Dan malam itu berada pada bulan Ramadhan. sebagaimana firman ALLAH S.W.T:-
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran,..(QS:2:185)

Ibnu Abbas r.a berkata:-
"ALLAH S.W.T menurunkan al-Quranul Karim keseluruhannya secara sekali gus dari Lohmahfuz ke BaitulIzzah(langit pertama) pada malam lailatulqadar. kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w. sesuai dengan pelbagai peristiwa selama 23 tahun."

Malam itu dinamakan lailatulqadar kerana keagungan dan keutamaannya di sisi ALLAH S.W.T. Pada saat itu ditentukan ajal, rezeki, dan sebagainya selama setahun sebagaimana firman ALLAH S.W.T:-
فِيہَا يُفۡرَقُ كُلُّ أَمۡرٍ حَكِيمٍ
"(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)." (QS:44:4)

ALLAH S.W.T juga menjelaskan keutamaan malam itu dengan firman-NYA:-
لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan." (QS:97:3)

Ini bermakna, beribadat pada malam itu dengan bersolat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa adalah sama nilainya dengan beribadat selama 1000 bulan iaitu bersamaan dengan 83 tahun empat bulan.

Lalu ALLAH S.W.T memberitahu tentang kelebihan dan nikmatnya dengan malikat yang turun pada malam itu, termasuk Jibril a.s. Mereka turun dengan membawa pekara kebaikan mahupun keburukan yang merupakan ketentuan dan takdiq ALLAH S.W.T. Seterusnya ALLAH S.W.T menambah kelebihan malam tersebut dengan firman-NYA:-
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ
"Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (QS:97:5)

Ini bermakna malam itu adalah malam yang penuh dengan kesejahteraan dan kebahagian. Tidak ada sedikit pun kecacatan di dalamnya, sehinggalah terbitnya fajar. Pada malam itu malaikat termasuk Jibril a.s mengucapkan salam kepada orang yang beriman.

Rasulullah s.a.w juga menyebut tentang kelebihan melakukan qiamullail pada malam tersebut. Baginda bersabda:-
"Barang siapa melakukan solat malam pada saat lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala ALLAH S.W.T, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Manakala mengenai waktu lailatulqadar itu. Rasulullah s.a.w bersabda:-
"Carilah lailatulqadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir Ramadhan."- Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya.

Malam-malam ganjil itu ialah malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29.

Saidatina Aisyah meriwayatkan bahawa dia bertanya:-
"Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui lailatulqadar, apa yang harus aku ucapkan di dalamnya?" Baginda menjawab, katakanlah: '"Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun, ENGKAU mencintai pengampunan maka ampunilah aku." -Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah.

Seharusnya kita sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh memenuhi malam-malam tersebut dengan solat, zikir, doa, taubat dan istighfar. Mudah-mudahan dengan demikian kita merasai kelebihan lailatulqadar, sehingga kita menikmati kebahagian yang kekal di syurga.

Pada malam tersebut, hendaklah kita berdoa untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Antara doa yang digalakkan diamalkan ialah:-
YA ALLAH...
perbaikilah untukku agamaku yang
merupakan penjaga urusanku.
Dan perbaikilah untukku duniaku
yang di dalamnya adalah kehidupanku dan
perbaikilah untukku akhiratku
yang kepadanya aku kembali,
dan jadikanlah kehidupan ini
untuk aku berbuat kebaikan,
dari kematian menghentikanku
daripada setiap kejahatan.

Ya ALLAH...
bebaskanlah aku daripada seksa api neraka,
dan lapangkanlah untukku rezeki yang halal,
dan palingkanlah daripadaku
kefasikan jin dan manusia,
wahai Zat Yang Hidup dan terus - menerus
mengurus makhluk-NYA."

"Ya ALLAH...
inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya
ENGKAU telah turunkan al-Quran. Aku berlindung
dengan kekuasaan-Mu yang mulia, wahai Pemilik fajar
yang terbit dari malam-malamku dan Pemilik bulan
Ramadhan yang hampir berlalu ini.

Kepada-Mu aku mengadu akan kesalahan dan
dosaku yang dengannya ENGKAU akan menyeksaku
pada hari perjumpaan dengan-Mu kelak.

Ya ALLAH...
Janganlah ENGKAU jadikan puasa ini sebagai puasa
yang terakhir dalam hidupku. seandainya ENGKAU
menetapkan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini
sebagai puasa yang dirahmati, bukan sia-sia.

Ya ALLAH...
Jadikanlah puasaku di dalamnya
mendapatkan pahala serta diterima sebagai amalan yang
mendatangkan keredhaan-MU dan daripada Rasul-MU
serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok,
dengan hak kemulian Nabi Muhammad s.a.w dan ahli
keluarga baginda s.a.w yang suci.."

Amin..
******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Saturday, August 28, 2010

Adab Menguap dan Bersin

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti

Sedarkah kita selama ini di dalam kita menguap dan bersin, sebenarnya di sana Islam telah ada suatu garis petunjuk yang perlu kita ambil tahu mengenainya?

Berkenaan dengan menguap, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kepada kita bahawa ia adalah dari Syaitan. Maka, apabila kita menguap atau terasa hendak menguap, maka hendaklah kita menahannya atau jika tidak mampu menahannya, hendaklah kita menutupnya (menutup mulut ketika menguap). Bukan sahaja sekadar menutup dan menahan diri dari menguap (dengan sedaya upaya), tetapi hendaklah juga kita mengelak dari mengeluarkan bunyi ketika menguap. Kerana apabila seseorang itu menguap sambil mengeluarkan bunyi, maka Syaitan akan ketawa.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya)

“Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab az-Zuhud, hadis no. 7129)

Juga dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya),

“Menguap adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang dari kalian menguap, tahanlah (dari menguap) dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi “Haaa” maka Syaitan akan mentertawakannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Permulaan Penciptaan, hadis no. 509)

Manakala berkenaan dengan bersin pula, ia adalah suatu yang disukai oleh Allah, yang mana berbeza dengan perbuatan menguap tadi yang ianya adalah dibenci oleh Allah. Apabila seseorang itu bersin, maka dengan itu hendaklah dia memanjatkan pujian kepada Allah, dan kepada saudaranya yang mendengar saudaranya yang bersin itu, maka hendaklah dia mendoakannya.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Sesungguhnya Allah menyukai bersin, dan membenci tindakan menguap. Maka apabila seseorang itu bersin, maka pujilah Allah (dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ”).
Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut “يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Manakala menguap, ia adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang dari kalian menguap, tahanlah ia dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi “Haaa” maka Syaitan akan mentertawakannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 242)

Di dalam riwayat yang lain, juga dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya),

“Jika seseorang itu bersin, maka hendaklah ia memanjatkan pujian kepada Allah (dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ”). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut “يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Dan jika orang yang bersin mendengar saudaranya menyebutkan “يَرْحَمُكَ اللهُ”, maka hendaklah dia mengucapkan “يَهْدِيْكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” (Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 243)

Dalam hadis yang lain, dinyatakan bahawa orang yang bersin yang mendengar saudaranya mendoakannya, maka dia boleh juga mengucapkan (selain di atas), يَغْفِرُاللهُ لَنَا وَلَكُمْ

“Semoga Allah mengampuni diri kami dan kamu.” (Hadis Riwayat at-Thabrani. Lihat di dalam Shahih al-Jami’ oleh Syaikh al-Albani)

Atau, di dalam sebuah atsar dijelaskan, dari Nafi' radhiyallahu ‘anhu,

“Apabila Ibnu Umar (radhiyallahu ‘anhu) bersin dan seseorang mengucapkan:

“يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya), maka dia (Ibnu Umar) mengucapkan:

“يَرْحَمُنَ اللهُ وَ يَغْفِرْ لَنَا وَلَكُمْ” (Semoga Allah memberi rahmat ke atas diri kami dan kamu)”. (Hadis Riwayat Imam Malik di dalam Muwaththa’, 54/5)

Juga adalah suatu sunnah, apabila seseorang itu bersin, hendaklah dia menutup atau meletakkan tangannya atau bajunya (atau kain yang seumpamanya) kepada mukanya sambil merendahkan mukanya dan memperlahankan suaranya.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu (maksudnya), “Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersin, beliau meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya (untuk menutupnya) sambil memperlahankan suaranya (bunyi bersin).” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab al-Adab, hadis no. 5011.
Lihat juga di dalam Shahih Sunan Abi Daud oleh Syaikh al-Albani)

Wallahua'lam..
renung-renungkan dan selamat beramal.

******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Wednesday, August 11, 2010

Puasa dan Kelebihannya


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan Salam Integriti

Sudah lama benar kita "bercuti" dari menulis dan mencoretkan sesuatu di blog ni, dah beberapa kali sahabat bertanya "apa dah jadi dengan blog anta? berhabuk dah tu.." " ko dah bercerai talak satu ke dengan blog ko tu?"..begitulah ayat-ayat manis peringatan dari sahabat-sahabat.

Walaubagaimanapun, kita terimanya dengan hati terbuka(sape suruh rajin buat blog, pastu x update, kan dah kena..hehehe). Kali ini kita menggagahkan diri untuk berkongsi sesuatu sempena dengan kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Marilah sama-sama kita renungi kelebihan puasa dan orang yang berpuasa.


RAMADHAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya. Amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.

Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa'di Abu Jaib Hal 218).

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur`an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .. "(QS 2:185)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah: "Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai kehormatan diri dan rumah tangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.

"Oleh itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.

"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam.”[1]


Kelebihan Puasa Secara Umum

Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:-

2- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)

2- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa, (maka) ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya) .."[2]

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Oleh kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata - berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara terbuka, maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan dengannya.

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:-

3- عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)

3- Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?" "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan, sabdanya: "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan dosa sebagaimana air memadami api.” [3]

(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:-

4- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)

4- Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Qur'an).”[4]

(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)

Selain daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:-

5- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)

5- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya.”[5]

(Hadith Riwayat Tabrani).

Kelebihan Puasa Ramadhan Secara Khusus

Mengenai puasa Ramadhan secara khusus, diterangkan dalam hadith yang berikut:-

6- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلم)

6- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".[6]

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut huraian Imam Nawawi rahimahullah Amal-amal kebajikan yang menjadi sebab untuk menghapuskan dosa-dosa yang tersebut, maksudnya dosa-dosa kecil Kalau tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa-dosa besar Kalau tiada dosa-dosa besar, ia dapat meninggikan darjat orang-orang itu di dalam syurga.[7]

Wallahu alam



[1] . Muqaddimah Mastika Hadith (hlm. 57).

[2] . Al-Ahadith al-Qudsiyah (1:172). Hadith ini ialah "Hadith Qudsi" diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan lain-lainnya. Ta'rif Hadith Qudsi telah diterangkan dalam "Muqaddimah Mastika Hadith".

[3] . Al-Targhib (2:87).

[4] . Kitab yang sama (2:84).

[5] . Al-Targhib (2:83), rawi-rawinya diakui benar.

[6] . Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181)

[7] . Tuhfat al-Ahwadzi (6:362).



******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.