Halwa Telinga anda

Qamus

English to Arabic to English Dictionary
Find word:
Exact Word / Starting Word Sub Word
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
www.SearchTruth.com

Wednesday, August 11, 2010

Puasa dan Kelebihannya


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan Salam Integriti

Sudah lama benar kita "bercuti" dari menulis dan mencoretkan sesuatu di blog ni, dah beberapa kali sahabat bertanya "apa dah jadi dengan blog anta? berhabuk dah tu.." " ko dah bercerai talak satu ke dengan blog ko tu?"..begitulah ayat-ayat manis peringatan dari sahabat-sahabat.

Walaubagaimanapun, kita terimanya dengan hati terbuka(sape suruh rajin buat blog, pastu x update, kan dah kena..hehehe). Kali ini kita menggagahkan diri untuk berkongsi sesuatu sempena dengan kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Marilah sama-sama kita renungi kelebihan puasa dan orang yang berpuasa.


RAMADHAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya. Amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.

Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa'di Abu Jaib Hal 218).

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur`an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .. "(QS 2:185)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah: "Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai kehormatan diri dan rumah tangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.

"Oleh itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.

"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam.”[1]


Kelebihan Puasa Secara Umum

Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:-

2- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)

2- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa, (maka) ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya) .."[2]

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Oleh kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata - berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara terbuka, maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan dengannya.

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:-

3- عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)

3- Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?" "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan, sabdanya: "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan dosa sebagaimana air memadami api.” [3]

(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:-

4- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)

4- Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Qur'an).”[4]

(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)

Selain daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:-

5- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)

5- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya.”[5]

(Hadith Riwayat Tabrani).

Kelebihan Puasa Ramadhan Secara Khusus

Mengenai puasa Ramadhan secara khusus, diterangkan dalam hadith yang berikut:-

6- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلم)

6- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".[6]

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut huraian Imam Nawawi rahimahullah Amal-amal kebajikan yang menjadi sebab untuk menghapuskan dosa-dosa yang tersebut, maksudnya dosa-dosa kecil Kalau tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa-dosa besar Kalau tiada dosa-dosa besar, ia dapat meninggikan darjat orang-orang itu di dalam syurga.[7]

Wallahu alam



[1] . Muqaddimah Mastika Hadith (hlm. 57).

[2] . Al-Ahadith al-Qudsiyah (1:172). Hadith ini ialah "Hadith Qudsi" diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan lain-lainnya. Ta'rif Hadith Qudsi telah diterangkan dalam "Muqaddimah Mastika Hadith".

[3] . Al-Targhib (2:87).

[4] . Kitab yang sama (2:84).

[5] . Al-Targhib (2:83), rawi-rawinya diakui benar.

[6] . Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181)

[7] . Tuhfat al-Ahwadzi (6:362).



******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.

Tuesday, July 13, 2010

Malaikat Rahmat Hibur Hati Orang Beriman Ketika Sakaratulmaut

tبسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti

MEREKA yang dipermudahkan dan senang ketika menghadapi nazak ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah mengutus berpuluh-puluh Malaikat Rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira.

Manakala orang terbabit dosa besar dan maksiat akan menghadapi kesukaran serta keperitan bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah yang bermaksud: “Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.” (Surah al-Qiyamah, ayat 29)

Orang disukarkan nazak ialah yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong, jahat, serta bergelumang dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakaratulmaut, Allah memperlihatkan kepada dirinya segala dosa dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan.

Jika dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman dilakukan.

Sumber: Khutbah online Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

******************Renungan Bersama******************
Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Tuesday, June 15, 2010

Tersurat dan tersirat

Jika insan diasuh dengan keangkuhan,
dia belajar erti takbur.
Jika insan diasuh dengan kelemahan,
dia belajar erti hina dirinya sendiri.
Jika insan diasuh dengan erti permusuhan,
dia belajar erti membenci.
Jika insan diasuh dengan sikap pentingkan diri sendiri,
dia belajar erti mengkhianati......
namun....
Jika insan diasuh dengan insani,
dia belajar erti hargai.
Jika insan diasuh dengan belas budi,
dia belajar erti mengasihani.
Jika insan diasuh dengan kepayahan,
dia belajar erti mensyukuri.
Jika insan diasuh dengan bertimbang rasa,
dia belajar erti bersabar....



******************Renungan Bersama******************
Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Wednesday, June 9, 2010

Putera puteri Dunia

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti

Perkara yang amat dibimbangi oleh Rasulullah S.A.W akan berlaku kepada umatnya, selain daripada terlalu menuruti kehendak nafsu ialah panjang angan-angan. Sesungguhnya angan-angan yang berlarutan itu akan mengakibatkan manusia lalai daripada mengingati akhirat, sedangkan akhirat adalah hari menentukan balasan amal seseorang. Tidak ada pembetulan yang dapat dilakukan atas segala kekhilafan dan kesalahan yang telah dilakukan, tetapi di sanalah tempat bagi manusia merasai kebahagian atau penyesalan yang tidak berkesudahan.

Angan-angan tidak ada penghujungnya, ia tidak berjejak di alam nyata, malah kosong semata-mata. Justeru angan-angan bukanah cita-cita, kerana cita memerlukan tindakan usaha yang bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang dicita-citakan. Sebaliknya angan-angan hanyalah khayalan ibarat sebuah lakonan ke alam fantasi, yang-angan hanyalah diketahui di mana letaknya seperti mengharungi lautan uas yang tidak berpantai.

Orang yang terperangkap dalam angan-angan pasti lupa dengan tujuan hidup di dunia ini, masa depannya hanyaah khayalan. Sekiranya dia tahu tentang akhirat, tetapi tidak mempunyai keyakinan, apa pun yang terjadi kepada dirinya dirinya di akhirat kelak tidak pernah difikirkan. Sekalipun ada pihak mengingat dia tentang perlunya membuat persediaan menghadapi hari akhirat, tetapi dia tetap menganggap akhirat itu masih jauh dan terlalu lama.

Golongan yang dikhayalkan dengan angan-angan sentiasa menangguhkan amal kefardhuan atau amal kebajikan. Jika ketika itu telah masuk solat fardhu, rakan-rakan mengajak dia pergi ke masjid atau musolla untuk menunaikan solat jemaah, dia akan menjawab "Pergilah dulu". Demikian juga andainya dia mempunyai harta dan wang ringgit yang membolehkannya untuk menunaikan fardhu haji, tetapi dia tidak akan berbuat demikian, sebaliknya akan menangguhkannya dengan berbagai-bagai alasan.

Manusia yang dilamun angan-angan tidak akan menjadualkan masa kehidupan mereka, sedangkan masa bererti usia. Walaupun masa berlalu namun dia tidak merasa usianya semakin susut dan terbuang sia-sia, kerana lamunan angan-angan yang panjang, dia tidak pernah berfikir bahawa kematian semakin meghampirinya.

Padahal umur manusia adalah antara anugerah Allah yang amat berharga tetapi terbatas, ia akan dipertanggungjawabkan ke atas diri seseorang di akhirat kelak dan akan ditanya ke mana ia dipergunakan.

Usia bergerak bagi meninggalkan manusia seperti pergerakan bumi dan cakerawala yang lain, ia terus melangkah meninggalkan manusia. Setelah usia berlalu, tiada pun yang dapat melambai dan mengajak umur itu kembali mendekati dirinya.

Selain itu Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa akhirat juga bergerak mendatangi manusia, bererti ia akan mempercepatkan pertemuan manusia dengan akhirat, ibarat dua orang menaiki dua kenderaan dari arah yang bertentangan di jalan raya, walaupun keduanya bergerak dengan yang jauh, namun oeh kerana kedua-duanya bergerak kearah yang sama, maka ia lebih cepat bertemu.

Gambaran itu begitu jelas bahawa manusia dari alam akhirat akan bertemu segera kerana kedua-duanya sedang bergerak pantas untuk bertemu. Hanya orang yang sedang dilamun angan-angan sahaja tidak menyedari umur yang sedang pergi dan akhirat yang mendatang, angan-angan yang panjang telah melalaikan mereka daripada menyedari hakikat itu

Orang yang berangan-angan panjang tidak akan memikirkan kedatangan saat kiamat yang menghancurkan alam dunia ini, lantaran itu dia tidak pernah memikirkan persiapan bekalan yang patut disediakan semasa hidup di dunia bagi kepentingan akhirat. Walaupun usia dunia ini seperti orang tua yang sudah terlalu bongkok untuk menemui ajalnya, namun orang yang sedang dilamun angan-angan tidak akan menyedarinya. Sebaliknya kelak mereka akan terkejut sebaik sahaja dunia ini menemui ajalnya apabila akhirat.

Dunia mempunyai penyokong dan akhirat mempunyai pengikutnya, kedua-duanya mempunyai putera atau anaknya masing-masing. Siapakah yang akan menjadi putera dunia serta penyokongnya? Dan siapa pula yang akan menjadi putera akhirat dan penyokong blok akhirat? Kesemuanya dapat dikenali dengan tingkah laku sikap dan pendirian mereka kerana setiap pendirian dan sikap seseorang akan membuahkan tindakan.

Siapakah putera dunia? Mereka ialah orang-orang yang mentaati hawa nafsunya atau menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan. Merasa bahagia terhadap seruan mungkar, lantas menghayatinya dengan segala keupayaan diri dan kekuatan aharta benda, serta merasa bahagia apabila berada dalam suasana mungkar itu. Putera dunia juga bagi mereka yang melakukan sebarang usaha hanya untuk kesenangan hidup di dunia yang sementara.

Putera dunia hanyalah mereka yang bergiat di sekeliling kehidupan duniawi tanpa menghubungkannya dengan akhirat. Jika memiliki kesenangan hanya untuk kepentingannya sendiri, orang lain seolah-olah tidak ada kaitan dengan dirinya. Sekalipun sekeliling mereka ramai orang yang menderita, baginya itu bukan urusannya.

Sementara putera akhirat pula adalah orang yang kehidupannya berteraskan kepada aqidah yang sebenar serta amalan yang bersumberkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Putera akhirat adalah orang yang mempertahankan kebenaran Islam, sedia mempertaruhkan jiwa dan raga demi membela Islam. Menghindari dan memeramgi segala yang berbentuk mungkar dan maksiat.

Putera dunia dan putera akhirat mempunyai perbedaan yang jelas antara kedua-duanya yang berlainan keturunan itu tidak mungkin bersatu.

Wallahua'lam

******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.