
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan Salam Integriti
Sudah lama benar kita "bercuti" dari menulis dan mencoretkan sesuatu di blog ni, dah beberapa kali sahabat bertanya "apa dah jadi dengan blog anta? berhabuk dah tu.." " ko dah bercerai talak satu ke dengan blog ko tu?"..begitulah ayat-ayat manis peringatan dari sahabat-sahabat.
Walaubagaimanapun, kita terimanya dengan hati terbuka(sape suruh rajin buat blog, pastu x update, kan dah kena..hehehe). Kali ini kita menggagahkan diri untuk berkongsi sesuatu sempena dengan kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Marilah sama-sama kita renungi kelebihan puasa dan orang yang berpuasa.
RAMADHAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya. Amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.
Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa'di Abu Jaib Hal 218).
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..
Menurut huraian ulama' rahimahumullah: "Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai kehormatan diri dan rumah tangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.
"Oleh itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.
"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam.”[1]
Kelebihan Puasa Secara Umum
Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:
2- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)
2- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa, (maka) ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya) .."[2]
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Oleh kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata - berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara terbuka, maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan dengannya.
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
3- Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?" "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan, sabdanya: "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan dosa sebagaimana air memadami api.” [3]
(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:-
4- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)
4- Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Qur'an).”[4]
(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)
Selain daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini.
5- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)
5- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya.”[5]
(Hadith Riwayat Tabrani)
Kelebihan Puasa Ramadhan Secara Khusus
Mengenai puasa Ramadhan secara khusus, diterangkan dalam hadith yang berikut:
6- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلم)
6- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".[6]
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut huraian Imam Nawawi rahimahullah Amal-amal kebajikan yang menjadi sebab untuk menghapuskan dosa-dosa yang tersebut, maksudnya dosa-dosa kecil Kalau tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa-dosa besar Kalau tiada dosa-dosa besar, ia dapat meninggikan darjat orang-orang itu di dalam syurga.[7]
Wallahu a’lam
[1] . Muqaddimah Mastika Hadith (hlm. 57).
[2] . Al-Ahadith al-Qudsiyah (1:172). Hadith ini ialah "Hadith Qudsi" diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan lain-lainnya. Ta'rif Hadith Qudsi telah diterangkan dalam "Muqaddimah Mastika Hadith".
[3] . Al-Targhib (2:87).
[4] . Kitab yang sama (2:84).
[5] . Al-Targhib (2:83), rawi-rawinya diakui benar.
[6] . Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181)
[7] . Tuhfat al-Ahwadzi (6:362).
******************Renungan Bersama******************
Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan, seperti durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.
No comments:
Post a Comment